Assalamualaikum :)
Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada' dan qadar Allah. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan tuhan.
Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.
Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Pilihan orang tua atau ibubapa untuk anak mereka tidak semestinya tepat, tetapi kebiasaannya ibubapa tidak akan memilih pasangan yang tidak baik untuk anak kesayangan mereka. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik kecuali mereka yang hidupnya bergelumang dengan kepentingan duniawi. Di kala itu ia akan mengutamakan kepentingan perut dari kebahagiaan rumahtangga anaknya.
Soal permohonan ibubapa untuk menemukan jodoh anaknya adalah satu kerja yang baik. Biasanya doa kedua ibubapa adalah doa yang mudah diperkenankan oleh Allah. dan jika Allah kehendaki Ia akan memakbulkan permohonan itu. Tidak mustahil, kerana itu anak-anak disuruh menaruh sangka baik kepada doa ibubapa mereka. Bagamanapun ibubapa tidak boleh mengharapkan doa semata-mata, sebaliknya mereka juga perlu bergerak untuk mencari jodoh untuk anaknya. Jika anaknya sudah mempunyai kenalan yang berkenan di hati di mana perwatakan pasangannnya baik menurut kacamata syara' dan tidak apa yang kurang, di masa itu elok diterima sahaja pasangan yang sudah sekufu ini.
Dari sudut ketaatan pula seorang anak perempuan dikehendaki taat kepada kedua ibubapanya selagi ia belum berkahwin dan selagi perkara yang diperintahkan itu tidak berbentuk maksiat. Tetapi setelah ia berkahwin ketaatan berubah kepada suaminya sepenuhnya. Dengan lain perkataan syurga seseorang perempuan itu sebelum berkahwin bergantung kepada ketaatan kepada kedua ibu bapa selain dari amalan-amalan wajib yang lain, dan setelah berkahwin bergantung kepada keredhaan suaminya dan tidak dalam perkara yang berbentuk maksiat.
No comments:
Post a Comment